Pengenalan
Pengenalan

Selamat datang ke 22 Hale Street.
Terima kasih atas penyertaan anda ke lawatan berpandu audio ini. Dalam lawatan ini, anda akan didedahkan kepada proses projek pemuliharaan 22 Hale Street dan sejarah Bandaraya Ipoh.
Pernahkah anda terfikir kenapa tempat ini dinamakan 22 Hale Street?
Jalan Tun Sambanthan dahulunya dipanggil Hale Street semasa zaman pemerintahan British. Nombor 22 merujuk kepada nombor lot bangunan ini.
22 Hale Street sebenarnya terdiri daripada dua lot rumah kedai. Deret rumah kedai ini dibina sekitar dekad 1900. Rumah kedai ini adalah antara rumah kedai yang masih kukuh berdiri di jalan ini manakala lot-lot kedai yang lain telah dibina semula dan diubahsuai mengikut perkembangan pemodenan.
22 Hale Street pernah dimiliki Ali Pitchay. Beliau merupakan Inspektor Kesihatan Kinta. Paras bawah bangunan ini pernah dijadikan pejabat kepada pelbagai perniagaan. Antaranya pejabat ejen Llyord’s Insurance, kedai dandanan rambut, firma arkitek dan kedai pembuat papan tanda. Paras atas bangunan ini pada satu ketika pernah menjadi kediaman kepada sekitar 70 orang penghuni.
Kesemua aktiviti perdagangan inilah yang membawa kemakmuran kepada pekan Ipoh, menjadikannya sebuah pusat tumpuan liburan. Namun, dek kerana susutnya simpanan bijih timah dan kejatuhan harga timah dunia pada abad 1970an, pekan ini mengalami zaman kemerosotan selama beberapa dekad. Banyak rumah kedai ditinggalkan terbiar, kosong dan usang, termasuklah 22 Hale Street.
Kerja-kerja pemuliharaan bermula pada Mac 2014. Kerja baikpulih berpegang pada dasar memaksimumkan pemuliharaan dan meminimumkan intervensi. Kaedah-kaedah pembinaan dan bahan binaan lama telah digunakan manakala bentuk dan struktur asal dikekalkan sebanyak mungkin.
Plaster kapur telah digunakan menggantikan simen. Tanah liat digunakan sebagai bata, jubin lantai dan genting atap. Disebabkan bahan-bahan ini boleh menyerap kelembapan dan menyejukkan udara dalam bangunan, plaster kapur dan tanah liat sangat sesuai dengan iklim yang panas dan lembap di Malaysia . Lantai dan tiang kayu pula telah digantikan dengan kayu-kayu terpakai dari sebuah kilang proses padi di Kedah yang berusia 100 tahun. Kerja-kerja pemuliharaan ini selesai pada Disember 2017. Bangunan usang ini diberi nafas baru dan tujuan baru. Kini, 22 Hale Street menyediakan ruang galeri, ruang keramaian dan kedai cenderamata untuk kunjungan orang ramai.
Peringatan
Berikut adalah beberapa peringatan sebelum anda masuk ke galeri:
Makanan dan minuman tidak dibenarkan di dalam galeri.
Untuk keselamatan pelawat dan bahan pameran, beg-beg bersaiz besar hendaklah ditinggalkan bersama staf kami.
Merokok termasuk ‘e-cigarette’ tidak dibenarkan.
Fotografi pantulan lampu kilat atau ‘flash photography’ tidak dibenarkan. Sila teg kami dalam foto-foto anda di Facebook dan Instagram, kami juga ingin melihatnya!
Sila tinggalkan ulasan tentang kami di TripAdvisor di akhir lawatan anda.
Staf kami sedia mambantu, jika anda memerlukan bantuan dengan penggunaan sistem lawatan berpandu audio ini.
