Galeri
Taikun Cina
Pendatang Negara Cina

Sejak awal kurun ke 19 hingga 1930an, ribuan pendatang dari negara Cina membanjiri British Malaya dengan harapan memulakan kehidupan yang lebih baik. Kebanyakan pendatang ini merantau dari Wilayah Guangdong di tenggara China. Dek kerana kemiskinan, pendatang China dan India memenuhi kekurangan tenaga buruh dalam industri perlombongan, peladangan getah dan pembinaan landasan keretapi.
Ramai meninggalkan China dengan menggadaikan diri sebagai buruh. Mereka ini terikat dengan hutang yang besar kepada tekong-tekong yang membiayai kos perjalanan mereka dan sukar menjelaskan hutang. Maka mereka mula merokok dan berjudi sebagai cara melupakan kesengsaraan hidup. Namun, mereka yang bernasib baik dapat melepaskan diri dari kitaran kejam dan cuba mengorak langkah seterusnya dengan berniaga, menjadi pedagang dan dengan itu menyumbang kepada perkembangan ekonomi di bandar-bandar yang sedang membangun. Kedatangan pendatang China ini membawa pelbagai suku kaum yang menggunakan pelbagai dialek dan mengamalkan budaya berlainan seperti Hakka, Kantonis dan Hokkien.
Galeri Orang-orang Kaya Cina – Pengenalan

Pendatang Cina merantau dengn meninggalkan keluarga dan rumah pusaka mereka. Kebanyakan rumah pusaka Cina mempunyai plak seperti plak ini yang merupakan moto keluarga. Ini adalah replika-replika plak dari rumah keluarga Lee di Mei Xian di Guangdong. ‘Scroll’ atau tatal melintang di atas ini bermaksud ‘sayangi rumahku’. Tatal berkembar di tepi pintu membawa maksud ‘kasih sayang berasal dari keluarga’ dan ‘demi akhlakku, aku dihormati’.
Di bilik ini, jejakilah kisah seorang anak yang berjaya mengubah hidupnya sediri melalui industri perlombongan bijih timah.
Lee Chu Shen

Di Mei Xian, Guangdong, ada seorang anak kepada seorang guru sekolah bernama Lee Chu Shen. Semasa kecil, beliau gemar ponteng sekolah dan perbuatannya diketahui oleh bapanya. Dia diikat di sebatang pokok dan dipukul. Malu dan memendam rasa, Lee Chu Shen melarikan diri dari rumahnya dan menggadaikan diri sebagai buruh.Â
Setibanya beliau di Pulau Pinang, beliau mula bekerja dengan seorang Kapitan Cina. Lee seorang yang mahir berlawan lalu disukai oleh kapitan tersebut. Kapitan tersebut kemudiannya menghadiahkan sekeping tanah lombong di Lahat kepada Lee. Dia mengaut kekayaan dengan melombong tetapi mula menyedari situasi hidupnya yang belum berkeluarga untuk mewarisi kekayaannya. Maka Lee rasa terpanggil untuk pulang ke kampung halaman berjumpa dengan keluarga yang ditinggalkan di negara China.
Lee Shu Shen

Tahun berlalu, tiada khabar berita dari Lee Chu Shen. Keluarganya beranggapan dia besar kemungkinan telahpun meninggal dunia. Pada suatu hari, seorang lelaki yang tidak kenali muncul di rumah pusaka mereka. Lelaki tersebut adalah Lee Chu Shen!
Beliau menceritakan kehidupan dan pengembaraannya ke Tanah Melayu dan bagaimana dia kini telah bergelar seorang towkay. Beliau memohon izin adik lelakinya, Lee Shu Shen, untuk mengambil anak saudaranya lelaki sebagai anak angkat. Ini adalah amalan biasa suku kaum Hakka mengambil anak angkat dari kalangan keluarga sendiri yang dipanggil gorfong. Lee Shu Shen bersetuju.
Lee Ming Hin

Lee Ming Hin yang berusia 13 tahun ketika itu merasa sangat gementar apabila terdengar berita bahawa bapa saudaranya yang baru ditemui akan menjadi bapa angkatnya. Walau bagaimanapun, beliau sangat tertarik dengan cerita-cerita oleh bapa saudaranya berkenaan pengembaraannya di Timur Jauh. Maka, beliau pun belayar bersama bapa saudaranya ke Tanah Melayu.
Lee Ming Hin merupakan seorang remaja yang berkebolehan. Bila beliau mencecah umur 20 tahun, beliau telah mengambil alih urusan perniagaan bapa saudaranya dan memulakan Kongsi Perlombongan Wan Yuen. di setiap lombong, beliau mempunyai lebih daripada seribu orang kuli bekerja untuknya.
Lee Ming Hin membina sebuah rumah di Menglembu selepas kejayaan perniagaan perlombingan bijih timahnya . Sebelum itu, beliau menghuni di sebuah rumah kedai di Jalan Besar, Menglembu. Semasa usia tuanya, dia kembali menghuni rumah kedai yang sama bagi memberi ruang kepada anak-cucunya yang ramai. Cuba teka berapa besar keluarganya? Lee Ming Hin mempunyai 5 orang isteri, 13 orang anak lelaki dan 9 orang anak perempuan!
Leong Tian

Kisah hidup Leong Tian adalah kisah seorang miskin menjadi kaya. Beliau berasal dari wilayah sama seperti Lee Chu Chen. Beliau terpaksa datang ke Ipoh pada 1902 selepas terlibat dalam suatu pertengakaran besar di kampung halamannya.Â
Keluarga Leong adalah dari satu puak kecil di Mei Xian. Dek sebab perbalahan berpunca dari sumber air untuk pengairan tanah ladang, Leong Tian yang tinggi lampai sehingga 7 kaki dan mahir dalam seni mempertahankan diri, telah mencederakan seseorang dari keluarga Chen. Leong Tian terpaksa menghilangkan diri bersama seorang sepupu selepas Keluarga Leong menerima desakan dari keluarga Chen untuk menyerahkan orang yang terbabit dalam pertengkaran tersebut.Â
Selepas tibanya di Ipoh, Leong Tian mula bekerja sebagai buruh lombong dan kemudiannya dinaikkan pangkat ke mandur. Akhirnya, beliau sendiri menjadi seorang pemilik lombong. Sebuah lombong yang menjadi tunggak kejayaannya adalah Lombong Beatrice. Lombong Beatrice mencapai status lombong paling bernilai di negara ini.
Villa Ros merupakan kediaman Leong Tian. Villa ini adalah salah sebuah kediaman di Ipoh yang paling awal diterangi dengan elektrik dan dipasang dengan tandas moden. Rumah ini mengandungi unsur-unsur rekaan barat dengan gaya kolonial, dibeli harga $70,000 pada tahun 1928. Beliau juga memiliki beberapa dusun dan kebun yang terletak di sekitar rumahnya. Semasa penjajahan Jepun, hasil tanaman di tanah-tanah ini telah menyara hidup keluarga Leong dan penduduk sekitarnya. Malangnya, villa ini telah dirobohkan pada 1982 dan di atas tanah ini 6 buah rumah telah dibina.
Penyatuan Dua Keluarga

Pada tahun 1950, keluarga Lee and Leong disatukan dengan perkahwinan antara anak lelaki Lee Ming Hin, iaitu Lee Loy Seng, dan anak perempuan Leong Tian, Leong Wan Chin. Lee Loy Seng mengorak langkah berani dengan beralih perniagaan keluarga dari industri timah ke peladangan getah, satu bidang yang asing sama sekali baginya. Beliau sedar timah adalah sumber asli yang akan susut tetapi pokok-pokok getah mampu terus bertahan dan mengeluarkan hasil. Kegigihannya dan kebolehannya berpandangan jauh membuatkannya digelar ‘Rubber Baron of Malaya’.
Leong Wan Chin mula bekerja sebagai seorang guru. Kedua-dua mereka terkenal sebagai dermawan dan penyokong kuat pendidikan aliran Cina di Ipoh.
Kabinet Peringatan Nenek Moyang

Kabinet ini, besar kemungkinan dibuat di Selatan China untuk pasaran Peranakan Cina di Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Ianya digunakan untuk menyimpan plak nenak moyang sebagai tanda peringatan dan kehormatan kepada roh-roh mereka yang telah pergi. Biasanya, kabinet ini diletakkan pada mazbah atau tempat pemujaan sesebuah rumah.
Kenapa kabinet ini diletakkan di tempat pemujaan keluarga Lee? Adakah keluarga Lee berkaitan dengan Peranakan Cina? Kita akan ketahui jawapannya di galeri yang seterusnya.
Kuli-kuli Lombong Timah

Sudut ini dikhaskan untuk mengingati usaha kuli-kuli lombong. Atas titik keringat merekalah Bandaraya Ipoh dapat menikmati kekayaan dan pemilik-pemilik lombong dapat menikmati kehidupan yang mewah.Â
Gambar ini menunjukkan kuli-kuli lombong menikmati makan tengahari di lombong Lee Ming Hin. Lombong-lombong Cina memberi makan percuma kepada pekerjanya tetapi tahap kualiti makanan berbeza dari lombong ke lombong. Hidangan biasa adalah nasi, ikan masin, sayuran dan kekacang, dan kadang-kala daging. Makanan 3 kali sehari disediakan dan waktu makan hanya setengah jam setiap syif. Minuman teh sentiasa disediakan dan dalam kes-kes tertentu, tembakau dan elaun gunting rambut diberikan setiap bulan. Dua kali sebulan, pada hari kedua dan ke-16, hidangan tambahan disediakan bila lauk daging dan ikan diberikan, dan pada hari-hari perayaan tradisi dan kebangsaan, makan malam besar dan minuman alkohol adalah satu kemestian.
Wanita dalam Perlombongan

Sekitar lewat kurun ke 19, mendulang timah di dasar sungai merupakan satu pekerjaan yang digemari oleh kaum wanita. Dibayar upah harian, wanita-wanita Melayu dan Cina yang gigih boleh mendulang sehingga 10 kilogram bijih timah dari dasar sungai dalam satu hari. Cara mendulang ini sangat menguntungkan dan popular. Hingga lewat 1920an, sekitar 7,500 kebenaran atau pas mendulang tahunan dikeluarkan dengan bayaran $1 setiap kebenaran atau pas, kebanyakan kepada wanita dan para remaja.
