Galeri
Peranakan Cina
Siapakah Peranakan Cina?

Istilah Peranakan Cina secara amnya merujuk kepada mereka yang berketurunan campuran Cina dan Melayu. Susur galur mereka adalah dari pedagang Cina dari suku Hokkien yang berkahwin dengan wanita tempatan di kurun ke-15 di Melaka dan mengamalkan adat budaya tempatan.
Mereka juga dikenali sebagai Orang Cina Selat memandangkan komuniti ini tertumpu di negeri Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang diperintah oleh British. Mereka menganggap diri mereka rakyat British atau dikenali sebagai ‘the King’s Chinese’. Status ini membezakan mereka dari pendatang Cina yang tiba ke Tanah Melayu selepas kurun ke-19, dan digelar ‘sin kheh’ atau ‘pendatang baru’.
Lelaki kaum Peranakan Cina dikenali sebagai baba manakala wanita dipanggil nyonya. Biarpun ada segolongan orang peranakan yang masih mengamalkan banyak adat budaya ini, ramai dari komuniti ini telah diasimilasikan ke dalam komuniti Cina yang utama.
Kaum Peranakan Cina betutur dalam bahasa Baba. Ianya merupakan sejenis bahasa campuran antara bahasa Hokkien dengan bahasa Melayu. Pada masakini, bahasa ini semakin jarang digunakan dan hanya diamalkan di kalangan generasi tua. Bahasa Inggeris telah menggantikan Bahasa Baba sebagai bahasa utama yang diamalkan oleh generasi muda.
Masakan Peranakan merupakan satu gabungan unik pengaruh budaya Cina, Melayu dan lain-lain budaya di Asia Tenggara. Terdapat beberapa variasi di dalam masakan Peranakan. Hidangan-hidangan dari Pulau Pinang di utara Semenanjung Malaysia menampakkan pengaruh Thai seperti penggunaan asam jawa dan lain-lain bahan masam. Hidangan-hidangan dari Singapura dan Melaka pula menampilkan lebih banyak pengaruh Indonesia seperti penggunaan santan.
Hew Pak Meh

Bagaimanakah keluarga Lee dikaitkan dengan Peranakan Cina?
Jawapannya terletak pada Hew Pak Meh, isteri pertama Lee Ming Hin. Beliau seorang nyonya yang berasal dari pekan Papan. Papan adalah salah sebuah pekan timah terawal di Perak. Perkahwinan mereka adalah berdasarkan cinta, sesuatu yang jarang berlaku dahulu di mana perkahwinan biasa diaturkan oleh orang tua. Bapa Hew Pak Meh menghadiahkan Lee Ming Hin dengan 10 ekar tanah lombong sebagai mas kahwin. Tanah inilah yang membawa kekayaan kepada keluarga Lee.
Hew Pak Meh memilik sebiji berlian bernilai. Apabila perusahaan melombong menurun, Hew Pak Meh memajakkan berlian ini bagi mendapatkan wang tunai, dan bila keadaan pulih, Hew menebus balik berlian tersebut. Beliau melakukan ini beberapa kali demi membantu perusahaan lombong keluarganya.
Malangnya, kisah cinta ini berakhir dengan kesedihan. Mengikut adat Peranakan, bakal ibu perlu melahirkan anak di rumah keluarga asalnya. Sarat dengan anak pertamanya, Hew Pak Meh bergerak dari Menglembu ke Papan menggunakan kereta lembu dan meninggal bersama kandungannya di dalam perjalanan. Sedih dengan kematian isterinya, Lee Ming Hin mengarahkan seisi rumahnya memperingati mendiang isterinya setiap Qing Ming, amalan yang masih diteruskan sehingga ke hari ini.
Adat Perkahwinan Peranakan Cina

Perkahwinan tradisional Peranakan mengandungi banyak unsur budaya Cina. Majlis perkahwinan ini merupakan salah satu adat perkahwinan yang penuh warna-warni di Malaysia dan Singapura. Berlangsung sepanjang 12 hari, ianya penuh dengan acara dan amalan tertentu. Sungguh rumit sehinggakan mak andam dan pak andam (Pak Chindek dan Sang Kek Um) diperlukan untuk memastikan kelicinan perjalanan majlis.
Dalam komuniti Peranakan di negeri-negeri Selat, terdapat beberapa perbezaan dari segi amalan atau adat, patois, makanan dan pakaian. Gambar ini menunjukkan sepasang pengantin dari Selatan manakala aksesori perkahwinan yang dipamerkan di sini adalah dari sebuah keluarga peranakan dari Utara.
Majlis Lap Chai

Lap Chai berlangsung bila hantaran bertukar ganti antara kedua-dua keluarga pengantin pada satu hari terplilih sebelum perkahwinan.
Sebelum Perang Dunia Kedua, majlis Lap Chai disambut meriah. Akan ada satu perarakan pembawa hantaran, pemain muzik meniup seruling dan sanak saudara akan bergerak dari rumah si lelaki ke rumah si perempuan. Hantaran-hantaran ini membawa maksud tertentu dan dipersembahkan kepada keluarga pengantin yang menerimanya dan membalasnya dengan beberapa hantaran sebagai tanda beradab sopan untuk dibawa balik kepada keluarga pengantin lelaki.
Chiu Tau

Chiu Tau atau majlis sisir rambut atau sikat rambut mencerminkan permulaan pasangan mempelai ke alam dewasa. Ia adalah acara paling penting sehinggakan pasangan pengantin tidak dianggap sudah berkahwin jika acara ini tidak mereka alami. Anak-anak kepada mempelai ini juga akan dianggap anak luar perkahwinan.
Upacara chiu tau diadakan di rumah kedua-dua pengantin dari lewat malam hingga ke awal pagi hari berikutnya. Ini bergantung kepada waktu terbaik yang ditentukan oleh tukang titik atau sinseh pokwa.
Meja pemujaan 3 tingkat, sam-kai, digunakan untuk menyembah dewa Ti Kong diletakkan di ruang tamu, menghadap jalan. Selain dari persembahan makanan yang dimasak, teh, wain, bunga, dan sepasang pelita kaca dan chanab juga di letakkan di atas meja.
Chim Pang – Majlis Membuka Tudung Pengantin Perempuan

Majlis Chim Pang menandakan pertama kalinya pertemuan antara kedua mempelai. Si pengantin lelaki akan membuka tudung di bilik pengantin. Inilah kali pertama mempelai bertentang mata. Mereka akan dihidangkan teh dan sebuah mangkuk Kueh Eh yang mengandungi bebola tepung pulut putih dan merah di dalam sira gula. Ini melambangkan kedua mempelai diberkati dengan kemanisan hidup. Hanya sebiji bebola sahaja yang dimakan dan selebihnya diletakkan di bawah katil. Bilangan ulat berenga yang ada di dalam mangkuk sepanjang 12 hari majlis perkahwinan menandakan bilangan anak yang bakal dilahirkan.
Makan Choon Tok – Santapan Pertama

Selepas majlis Chim Pang, amalan Makan Choon Tok pula menyusul. Ini merupakan kali pertama kedua mempelai makan bersama sebagai suami isteri. Dalam majlis ini, terdapat 12 hidangan untuk kedua pengantin.
Meja Choon Tok akan disediakan berdekatan dengan tingkap dan sebuah cermin dinding diletakkan mengadap katil pengantin. Cermin ini diletakkan agar dapat memantulkan bayangan makanan terhidang di atas meja. Cerminan ini menandakan rezeki dan kemewahan.
Ketika makan, pasangan pengantin akan bermain satu permainan. Berlaku di bawah meja, sekiranya pengantin lelaki boleh meletakkan kakinya di atas kaki pengantin perempuan, dialah menjadi ketua rumah. Tetapi, sekiranya si pengantin perempuan dapat meletakkan kakinya di atas kaki suaminya, maka dialah yang akan berkuasa di rumah. Dua batang lilin yang tinggi di pasang di atas meja melambangkan kedua mempelai. Dahulu kala, orang percaya jika lilin yang melambangkan si pengantin lelaki habis digunakan dahulu, maka dialah yang akan meninggal dahulu dan begitu jugalah sebaliknya.
An Chng – Majlis Memberkati Katil Pengantin

Bilik pengantin akan dihiasi dengan langsir baru, bidai sulaman serta hamparan dan bunga-bungaan. Sesikat pisang, serai, dan ubi keladi bersama 3 batang colok diletakkan dalam sebuah pasu dan diletakkan di bawah katil. Barang-barang ini melambangkan kemewahan, panjang umur dan kesuburan. Bilik ini kemudiannya dikawal bagi mengelakkan ia dari dicemari sehinggalah satu tarikh dan masa ditentukan untuk majlis an ch’ng.
Dalam majlis an chng, seorang budak lelaki akan bergolek-golek di atas katil 3 kali sebagai tanda berkat memastikan agar anak kelahiran pertama adalah seorang lelaki. Amalan ini masih diamalkan di kalangan masyarakat Cina Malaysia dan Singapura hingga ke hari ini.
Sirih dalam Perkahwinan Peranakan Cina

Sirih memainkan peranan penting dalam majlis perkahwinan. Apabila jemputan kahwin dikeluarkan, sirih akan dihantar ke setiap rumah yang dijemput bersama kad jemputan. Akan dianggap tidak ikhlas niat dalam jemputan jika ini tidak dilakukan.
Semasa majlis perkahwinan, set sirih adalah sebahagian daripada barangan iringan yang mengiringi pengantin perempuan ketika perarakan. Ianya melambangkan tanda kesucian si pengantin. Set sirih akan berada di dalam bilik pengantin sepanjang 12 hari majlis. Set sirih ini akan diterbalikkan oleh pengantin lelaki sekiranya dia meragui kesucian dara si pengantin perempuan dan perkahwinan boleh dibatalkan. Begitu juga, pada hari ke-12 majlis perkahwinan, sekiranya si ibu mentua tidak yakin akan kesucian si pengantin perempuan bila kain kesucian atau kain chiu tau diperiksa, si ibu boleh menterbalikkan set sirih bagi membatalkan perkahwinan tersebut. Namun, perkara ini tidak pernah didengari, besar kemungkinan kerana si lelaki di zaman itu terlalu takut untuk menyuarakan bantahan atau si ibu mentua tidak mahu menanggung malu dengan mendedahkan menantu perempuan yang dipilihnya sendiri bukan lagi seorang anak dara.
Bakul Ayam di Bawah Katil

Pada malam perkahwinan, seekor ayam jantan dan ayam betina akan diletakkan di dalam sebuah bakul dan diletakkan di bawah katil pengantin. Ketika itu, dianggapkan pengantin lelaki akan meniduri isterinya. Keesokan harinya, kedua-dua ibu pengantin akan masuk ke bilik itu dan melepaskan ayam dari bakul tersebut. Jantina ayam yang akan keluar dahulu dari bakul akan menentukan jantina anak pertama mempelai. Sekiranya ayam jantan keluar dahulu maka keluarga itu boleh mengharapkan cucu lelaki, dan jika ayam betina keluar dari bakul dahulu maka anak pertama adalah perempuan. Jadi apa agaknya jantina bakal anak sekiranya kedua-dua ayam jantan dan betina keluar dari bakul pada masa yang sama? Cuba anda teka.
